Menu

Sunday, 16 September 2018

KEMBARA DI NEGERI ASING (01 - 06)


FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT

KEMBARA DI NEGERI ASING

Image may contain: plant, flower, food and nature

KEMBARA DI NEGERI ASING (1)

Menapak dan merafak penuh rasa waspada meski keyakinan jelas terlihat pada garis raut paras rupa nan bersahaja tika melangkah masuk melalui jaringan ruang lingkup waktu yang berliku dan berbolak-balik mengikut kesesuaian langkah rentak tari tanpa irama antara alam nyata dan remang mimpi bahagia yang sentiasa diiringi sendaloka pari-pari dunia sambil ceria meniup altar aroma pesona seraya menatang talam berisi piala-piala dipenuhi air berbusa perahan anggur-anggur murahan biasa

Berkerut hingga mujur tak bertaut kedua alis mata subur berbaja dalam sempadan rukun wudhu' yang kedua tatkala tanda tanya bermain di minda yang ghairah untuk memecah teka tentang samada masih tidak lengkap lagikah jurus pencak di dada peninggalan kedua orang tua berserta pengalaman yang dicedok ditimba dari serata jagat raya semasa langkah kaki dihayun melata kerana titik butanya memang nampak jelas nyata tika membuat persembahan di pentas sayembara yang tidak rata dengan para penontonnya bermata hijau muda merenung penuh prasangka

Nukilan: Si Takluk Jagat
16 September 2018

KEMBARA DI NEGERI ASING (2)

Aku melangkah masuk ke negeri ini
Yang khabarnya kaya dengan warna dan warni
Walau panji-panjinya cuma punya dua warna
Yang kedua-duanya emang “totally” kontra
Putih bersih dan merah tua
Yang masing-masing membawa makna
Sesuci salju dan semangat membara

Aku melihat dengan teropong syariatku
Biar ada gambaran tempat nak ku tuju
Ku lihat pari-parinya mengenakan topeng muka
Dan ramai bidadarinya yang menyembunyikan rupa
Entah gerangan apa berkelakuan sedemikian
Tak mahu aku bermain dengan persoalan
Lalu ku pacukan kuda hakikatku
Dan ku sarungkan topeng makrifatku
Biar tiada sesiapa kenal akan diriku

Memang indah memang menawan
Seperti berada di taman kayangan
Di sana sini pujangga berpuisi
Ke sana ke mari pencinta menari
Pentas sayembara bagaikan hamparan
Luasnya saujana mata memandang
Bayu bertiup membawa lagu gembira
Kuntuman mekar dibajai syair cinta

Aku bagai bermimpi, bukan dalam dunia nyata

Nukilan: Si Takluk Jagat
17 September 2018



KEMBARA DI NEGERI ASING (3)


Assalamualaikum pembuka bicara

Hatur salam untuk sekalian rakyat jelata
Salam hormat untuk bapak-bapak penguasa
Salam sayang pada semua sang pujangga
Salam rindu pada ibu-ibu pengusaha
Salam ukhwah pada semua warga, tua atau muda

Dengan lafaz Bismillah aku perkenalkan diri

Aku pengembara dari seberang negeri
Dengan rendah hati aku minta izin untuk lalu
Dengan luhur diri aku mohon restu untuk bertamu
Aku cuma datang untuk menimba ilmu
Buat jadi bekal di hari kemudianku
Buat jadi amal di hari tuaku

Ampunkanlah jika aku terkasar bahasa

Kerana sedikit sebanyak bahasa kita berbeda
Maafkanlah jika aku kelihatan seperti bermain cinta
Tapi sebenarnya aku sedang menulis karya
Karya dalam bentuk puisi
Karya dari hati
Terbit dari sanubari

Moga Ya Rahman permudahkan jalanku

Moga Ya Rahim menerangkan hatiku
Ayuhlah warga, kita jalan bersama-sama
Mengutip bunga-bunga liar di sini sana
Untuk kita jadikan kalungan puisi kisah kita

Nukilan: 
Si Takluk Jagat
18 September 2018

KEMBARA DI NEGERI ASING (4)



Wahai sekelian pujangga …
Tangan ku hulur tanda perkenalan
Salam ku berikan tanda persahabatan
Siapa pun yang datang aku menyapa
Bila berhadapan ku tersenyum mesra
Bergurau senda memperkenalkan diri
Sesekali diserikan dengan berpuisi
Walaupun puisiku tidak berirama
Tapi membawa dendangan terus dari jiwa
Melempiaskan hasrat hati yang dahaga
Melontarkan resah rindu yang begitu membara
Dalam sendu qalbu yang terlalu menghiba
Setelah patahnya si dahan cinta
Cuba ku gapai ranting asmara
Tapi ianya hanyalah pohonan kecewa
Siksa pedihnya sebuah kehilangan
Aku mencari rentak syurga yang hilang
Pergi jasadnya tidak dapatku halang
Tapi cintanya takkan ku izinkan pulang
Moga ianya akan kekal bersemayam
Di sudut hatiku yang paling dalam
Biarlah aku melayan rinduku dengan berpuisi
Biarlah aku menyeka airmataku dengan berperi
Kerana ketika aku mengarang bait-bait puisi
Aku rasa Rama-ramaku ada di sisi … tersenyum menemani
Nukilan: Si Takluk Jagat
19 September 2018

KEMBARA DI NEGERI ASING (5)


Semakin lama semakin aku terpana
Memandang keindahan syurga dunia
Di atas altar yang agak mega
Ramai berbaris sang bidadari jelita
Tanpa mengenakan topeng di muka
Tercuit hatiku melihat pesona dunia
Bersyair berpuisi bergurindam seloka
Rentak tarinya memukau mata
Di satu sudut yang agak sunyi
Sang Puteri yang tenang duduk berpuisi
Di atas mewahan perabot jati dan mahogany
Dengan busana indah penyeri diri
Puisinya menenangkan hati
Aksaranya di tahap tertinggi
Lagu jiwa
Puisi hati
Tiba-tiba terlihat seorang bidadari sedang menyibukkan diri
Berlari-lari, ke sana dan ke mari
Namun ada seni tari dalam hantaran langkah kakinya
Ada seri pesona dari sebalik topeng mukanya
Meski cuba bersembunyi di sebalik malu-malunya
Tapi aku terhidu berahi dalam sapa mesranya
Menghidangkan aku tela-telanya
Menyanyikan aku lagu puisi cintanya
Puisi yang menyentuh jiwa
Lagu yang berirama cinta


Nukilan: Si Takluk Jagat
20 September 2018

KEMBARA DI NEGERI ASING (6)

Seorang bidadari tanpa topeng muka
Merenung menatapku dengan muka bercahaya
Redup matanya menggetarkan hati
Lembut tuturnya menyejukkan sanubari
Kami duduk berdua menikmati segarnya kopi
Berbual bertanya akan khabarnya diri
Katanya dia mahu ikutku mengembara
Bukan tak sudi dik …
Tapi perjalananku penuh bara !


Ku lihat anak remaja sedang bermain api
Sambil menjelingku dengan penuh berahi
Tak bimbangkah akan terbakar dirinya nanti?
Kelak kan hilang segala seri
Ku petik kuntuman mawar yang segar
Ku hulur padanya tanda persahabatan
Dipegang dicium mawar yang wangi
Tapi awas dik …
Mawar itu berduri !

Kelmarin langit senja berbisik padaku
Bilangnya ada pari-pari yang sedang menunggu
Setiap masa memerhatikan hayun kakiku
Dalam diam menyelami karyaku
Kata hatiku mungkin tak tepat
Tapi makrifatku jarang membohongi
Nanti kecewa dik …
Hatiku dah lama mati !

Nukilan: Si Takluk Jagat

No comments:

Post a Comment