FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
ELANG DAN ALAM
Ke manakah lagi hendak aku tujui
Apakah harus elang ini teruskan kembara mencari
Atau membiarkan sahaja tubuhku dibawa angin yang bertiup kencang
Mungkin di hujung sana sedang menunggu apa yang dicita-citakan
Sesekali elang ini menoleh ke belakang
Memagut saki baki memori kenangan semalam
Darah dan luka yang menemani derap tapak kaki
Senyum dan tawa yang berpaut di kibasan sayap ini
Sayugia juga mahu diingatkan
Malamku tidak pernah merasa kesunyian
Alam selalu sudi menjadi temanku yang setia
Dan tiada sekalipun pepohonan memberi syarat untuk aku bertengger di dahannya
Sebaik meredupnya sinar mentari senja
Angkasaraya akan mulai melukis cahaya
Satu demi satu gemintang kelihatan berkerlipan
Hatta terbitnya purnama sebagai satu bentuk penyempurna keindahan
Dan di rimba ini
Elang ini tidak melihat kelam atau merasa sunyi
Terang berlenterakan kerdip sang kunang-kunang
Bahagia disenandungkan nyanyian si riang-riang
Inilah duniaku
Inilah rimbarayaku
Moga aku akan tetap bertahan menghadapi pancaroba dunia yang menerjang keras
Tetap kuat dalam mengharungi badai mayapada yang terkadang menderu ganas
Nukilan: Si Takluk Jagat
20 Mac 2019
No comments:
Post a Comment