FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
10 PUISI RAMADHAN 1440H (2019)
SAHUR
Jam tua di dinding berdenting empat kali
Parau bunyinya menggema memecah sunyi
Di selang seli dengan nyaring kokok kedua si jalak
Bangunlah insan ... ayuh kita imarahkan waktu imsak
Seru sekali pertarungan di antara hati dan netra
Yang masing-masing diwakili iman dan nafsu durjana
Untuk bangun dan menyantap barang sesuap nasi
Di waktu paling dingin yang menusuk ke tulang sulbi
Di kala insan lain sedang asyik diulit mimpi
Menggagahi diri melawan kelat mata bangkit dari lena
Untuk sekadar meneguk air bagi meraih pahala
Itulah juga waktu yang afdhal untuk beruzlah dan bermunajat
Semoga muhasabah di dalam tirakat
Agar tiap saat di bulan puasa ini mendapat berkat
Berbahagialah sesiapa yang berjaya melawan nafsunya
Kerana bermujahadah itu adalah jambatan kepada taqwa
Asbab baraqahnya bersahur di pagi hari
Akan dapat menguatkan sendi hingga ke senja nanti
... "sahaja aku berpuasa di dalam bulan Ramadhan, fardhu atasku, kerana Allah Taala"
Nukilan: Si Takluk Jagat
06 Mei 2019 / 01 Ramadhan 1440
No comments:
Post a Comment