Menu

Sunday, 16 September 2018

PUISI SI TAKLUK JAGAT - PUISI SANG MALAIKAT (01/40 - 08/40)


PUISI SI TAKLUK JAGAT

PUISI SANG MALAIKAT

Image may contain: plant, outdoor and nature

PUISI SANG MALAIKAT – TARIAN SANG RAMA-RAMA (01/40)

Sang Rama-Rama Kecil & Si Tapak Tangan
~ Si Tapak Tangan 

Wahai Sang Rama-Rama kecil yang cantik
Siapakah gerangan kamu?
Dari rimbakah atau dari Syurga?
Hadirmu tanpa undangan
Di atas tapak tangan ini kau menari-nari
Dan tarianmu tarian cinta

Rentak tarimu mengasyikkan
Memukau mata yang memandang
Walau sesekali nampak pincang
Namun langkahmu menunjukkan keikhlasan
Yang datang dari sudut hati paling dalam

Kaki kecil mu terus menari
Serentak dengan denyutan nadi
Senada dengan degupan Rabb
Sesekali kau mengibaskan sayapmu
Tak mampu aku berkalih pandang

Adakah aku cuba diduga?
Apakah aku akan tergoda?
Dek gemalai langkah tarimu
Dek indahnya warna-warna pada sayapmu

Ya Rabbul Jalil
Sesungguhnya aku terpegun menyaksikan keindahan ciptaanMu
Sememangnya Indah itu adalah sifat Mu

01/40

PUISI SANG MALAIKAT – CERITA SANG RAMA-RAMA (02/40)

Sang Rama-Rama Kecil & Si Tapak Tangan
~ Sang Rama-Rama Kecil

Aku bukan Rama-Rama rimba
Aku datang dari taman yang indah
Aku dibelai bagaikan puteri
Aku hidup dalam syurga duniawi
Walau begitu banyaknya kumbang yang datang
Namun aku tetap merasakan kekosongan

Aku pejamkan mata
Aku kibaskan sayap kecilku
Aku terbang mengikut naluri
Aku mencari cinta abadi
Aku dambakan cinta hakiki

TakdirNya aku sampai di sini
Di atas tapak tangan ini
Izinkan aku menumpang sebentar di sini
Untuk merehatkan sayap dan kaki
Seharian aku terbang ke sana dan ke mari
Selepas ini aku akan pergi
Kembali mencari cinta sejati

Janganlah pandang aku sebagai penggoda
Aku juga tak suka menduga
Anggaplah pertemuan kita ini ketentuanNya
Dan perkenalan kita ini ketetapanNya
Yang sedia tertulis dalam Qada’ & QadarNya

02 of 40

PUISI SANG MALAIKAT – SANG RAMA-RAMA MASIH MENARI (03/40) 

Sang Rama-Rama Kecil & Si Tapak Tangan
~ Si Tapak Tangan

Wahai Sang Rama-Rama yang cantik
Petah sungguh kau berbicara
Lunak sungguh kau berkata-kata
Ternyata kau bukan rama-rama rimba
Ku sangka hanya ragamu yang nampak suci
Rupanya jiwamu juga sangat murni

Teruskanlah menari
Hiburkanlah hati mu
Cuma satu pesanku, jagalah maruahmu
Kerana maruah itu adalah harga dirimu
Biarlah ada segan
Biarlah ada silu
Agar kumbang kebanyakan rasa tersipu

Hidup ini hanyalah permainan
Mempermainkan tubuh dan melalaikan perasaan
Ibarat pohonan, mulanya segar
Layu
Menguning
Kering
Akhirnya hancur

Dunia ini sementara
Dunia ini fana dan hampa
Yang kekal abadi hanyalah di sana

03 of 40

PUISI SANG MALAIKAT – SANG MALAIKATKU (04/40)

Sang Rama-Rama Kecil & Si Tapak Tangan
~ Sang Rama-Rama Kecil

Wahai Si Tapak Tangan
Indah sungguh pekertimu
Tutur katamu penuh bersopan
Mulia akhlak mu tidak terlawan
Aku tahu kau juga bukan orang sembarangan

Nasihatmu kan ku turuti
Maruahku kan ku jagai
Hijabku akan aku labuhkan
Auratku akan aku perkemaskan
Agar tak jadi tontonan lelaki kebanyakan
Kaulah Malaikatku
Kaulah penyelamat Aqidahku

Aku menoleh ke samping
Aku ternampak pohon-pohon mulai berputik
Aku menjeling ke sisi
Aku terpandang kudup-kudup bunga mulai terbuka
Aku pejamkan mata
Aku lihat bunga hati ku juga mulai berkembang
Semakin mekar, semakin wangi
Semakin besar, semakin berseri

Aku terhidu bau bahagia
Aku nampak cahaya terang di hujung sana

04 of 40

PUISI SANG MALAIKAT – CETUSAN RASA SI TAPAK TANGAN (05/40)

Sang Rama-Rama Kecil & Si Tapak Tangan
~ Si Tapak Tangan

Aduhai …
Mengapa perasaanku serba tak kena?
Bahkan tidurku kini makin tak lena
Gerak tari itu sentiasa bermain di mata
Irama itu kian lama kian bergema

Malam tadi aku bermimpi
Sang Rama-Rama datang hinggap di pipi
Kibasan sayapnya terdengar di telinga
Membisikkan syair-syair cinta
Mengghairahkan
Mengasyikkan
Menghanyutkan

Dalam mimpi kami terbang berdua
Menyusur angin merentas benua
Begitu tingginya kami terbang
Begitu bahagianya kami berduaan
Seharian bersama hingga ke petang

Aku terjaga dengan seribu tanda tanya
Aku tersedar dengan pertanyaan bermain di minda
Adakah mimpi boleh jadi nyata?
Atau sekadar mainan tidur semata

Aku serahkan pada Yang Maha Kuasa

05 of 40

PUISI SANG MALAIKAT – CETUSAN HATI SANG RAMA-RAMA (06/40)

Sang Rama-Rama Kecil & Si Tapak Tangan
~ Sang Rama-Rama Kecil

Ya Allah Ya Tuhan ku …
Apakah yang telah terjadi?
Siapakah Si Tapak Tangan ini?
Jantungku kuat berdebar
Hatiku kuat bergetar
Tak pernah aku merasakan perasaan sebegini
Kaki ku seakan tak boleh berhenti menari

Wahai Si Tapak Tangan
Tajam benar renunganmu
Kaku badanku sewaktu kita bertemu pandang
Rundukkanlah sedikit pandanganmu
Bimbang kan terbakar jiwa dan ragaku

Aku dapat rasakan
Denyut nadimu dan degup jantungku senada
Hela nafasmu dan detik hatiku seirama
Hangat tapak mu seakan membelengguku
Buat hati ku jadi sayu

Dalam hati ku tertanya-tanya
Adakah ini cinta?

Siapakah kamu?
Aku dapat merasakan keikhlasan mu
Sudikah jika aku mengetuk pintu hati mu?

06 of 40

PUISI SANG MALAIKAT – RAHSIA SI TAPAK TANGAN (07/40)

Sang Rama-Rama Kecil & Si Tapak Tangan
~ Si Tapak Tangan

Wahai Sang Rama-Rama kecilku
Cuba kau rundukkan sedikit sayap indah mu
Sorotlah mata mu ke sebelah sana
Sesungguhnya di hati ku telah sedia bertakhta
Sang Bidadari dari Syurga

Aku pernah keliru di persimpangan
Aku pernah tersesat di perjalanan
Si Dia mengirimkannya
Yang memimpinku ke jalan terang
Yang memegang bahuku agar tak tumbang

Dialah kawan dialah taulan
Dialah ubat dialah penawar
Buat penenang hati
Buat penghibur diri
Buat teman di kala sunyi

Cintanya tidak berbelah bahagi
Setianya tak pernah ku ragui
Kepatuhannya ku sanjung tinggi
Sepenuh raganya berkorban untuk diri ini

Dialah bidadariku
Jantung hatiku
Penyejuk kalbu

07 of 40

PUISI SANG MALAIKAT – LUKA HATI SANG RAMA-RAMA (08/40)

Sang Rama-Rama Kecil & Si Tapak Tangan
~ Sang Rama-Rama Kecil

Sungguh …
Aku terpana
Airmataku berjujuran
Seribu pertanyaan bermain di minda
Berdosakah aku jika menyintainya?
Salahkah aku andai cuma ingin secebis kasihnya?
Adakah aku akan dipandang hina?

Wahai jiwa yang gusar
Tenanglah
Wahai hati yang rindu
Sabarlah
Wahai qalbu yang gelisah
Istighfarlah

Dalam esak tangisku
Dalam khusyuk sujudku
Aku mohon petunjuk
Aku pasrah, aku redha
Andai ini takdirMu, akan aku turuti
Andai ini perintahMu, akan aku patuhi

Cuma satu yang jadi persoalan
Mengapakah kita dipertemukan?
Mengapa takdir seperti mempermainkan aku?
Ya Allah Ya Tuhanku, tenangkanlah jiwaku

08 of 40

No comments:

Post a Comment