PUISI SI TAKLUK JAGAT
Puisi Merdeka 2018
SYAHID DI BUMI BERTUAH
Dalam sakaratulmaut dihujani tikaman 'bayonet' askar-askar Jepun di atas Bukit Chandu pada 14 Februari 1942, Leftenan Muda Adnan bin Saidi sempat berpesan:-
Ya Allah Ya Tuhanku ...
Badanku penuh dengan luka-luka
Darah merahku terpercik ke sini sana
Mahu membuka mata pun aku sudah tak berdaya
Apatah lagi untuk mengangkat senjata
Aku tahu masaku sudah hampir tiba
Sebentar lagi ajalku pasti akan menjelma
Hancur tubuhku ditikam bertubi-tubi
Pecah tengkorakku dihentak topi besi
Masih belum cukup untuk memuaskan hati
Dipotong pula tangan dan kaki
Akhirnya badanku digantung di dahan yang tinggi
Mengalir darahku tak mahu berhenti
Sakitnya aduhai tidak terperi
Pedihnya bagaikan ditusuk duri
Bisanya terasa hingga ke hati
Tapi apalah ada dengan penderitaan ini
Jika dibandingkan dengan sayunya hati
Terkenangkan rakan-rakan yang sama berjuang
Kini tubuh-tubuh mereka terkapar bergelimpangan
Sekurang-kurangnya nyawa aku masih lagi ada di badan
Sedangkan mereka telah lama terkorban
Telah terpisah roh mereka dari badan
Lama lagikah masaku akan tiba?
Malaikatulmaut belum lagi menunjukkan muka
Mungkin Allah swt memberi peluang untuk aku bersedia
Dia memberikan aku masa untuk mengingatiNya
Dia mengurniakan aku waktu menyesali segala dosa
Wahai isteriku ...
Tahanlah airmatamu
Janganlah kau tangisi pemergianku
Janganlah kau ratapi kehilanganku
Pada Dia tempat kita mengadu
Hanya Dia Yang Maha Tahu
Di pintu syurga aku akan menunggumu
Duhai anak-anakku ...
Darah yang kamu warisi itu darah pahlawan
Dalam hatimu telah aku semaikan kekuatan
Hak anak bangsamu hendaklah dipertahankan
Jangan sampai mereka dikotak-katikkan
Perwira mati di medan pertempuran
Bukannya di rumah, mati kelaparan
Selagi hidup selagi itu berjuang
Untuk anak bangsaku ...
Semoga akan sentiasa lahir perwira-perwira muda
Yang berhati cekal dan bersemangat waja
Dalam mempertahankan maruah bangsa kita
Aku berjuang demi negara
Aku berperang demi bangsa
Aku berkorban demi agama
Semoga nanti kamu semua akan merasa
Nikmatnya hidup dalam negara MERDEKA
Nampak samar-samar Izrail datang menjengah
Lancar lidahku melafazkan kalimah
"Sesungguhnya aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah"
"Dan Nabi Muhammad swt itu pesuruh Allah"
Tika aku bersedia dan aku berserah
Terbukalah hijab, rahsia terserlah
Terbentang di depan taman yang indah
Syahid aku di bumi bertuah
Untuk Leftenan Muda Adnan bin Saidi kita sedekahkan Al-Fatihah
No comments:
Post a Comment