PUISI SI TAKLUK JAGAT
PUNGGUK DAN BULAN
Cerita Sang Pungguk (1)
Dalam resah aku menantikan kemunculan rembulan
Terdengar Sang Pungguk berlagu bersahut-sahutan
Galak sungguh ia berbunyi
Sambil bertenggek di dahan yang tinggi
Mendayu-dayu mengusik hati
Bagaikan menasihati
Bagaikan meratapi
Hingga muncul tanda tanya pada diri
Petunjuk apakah yang cuba diberi?
Aku pejamkan mata
Aku kosongkan minda
Meratib aku memuji Sang Pencipta
Ya 'Alim, Maha Mengetahui segala-galanya
Berusaha bersatu dengan alam
Mencuba meneliti setiap kalam
Cuba mencari apa yang disembunyikan
Cuba memahami apa yang mahu disampaikan
Dengan izinNya, aku diberikan ilham
Salam sejahtera wahai Sang Pujangga
Si Takluk Jagat sang pengkarya yang setia
Maha suci Dia Yang Maha Berkuasa
Puji-pujian atas segala kasih sayangNya
Tiada Tuhan selain Dia
Maha Besar Dia dengan sifat kebesaranNya
Maha Tinggi Dia dengan sifat kepujianNya
Selesai memuji-muji Sang Illahi
Sang Pungguk meneruskan lagi
Wahai Si Takluk Jagat
Acapkali ku lihat kau duduk sendirian
Di dalam kelam malam menantikan Sang Rembulan
Kadangkala terdengar kau bersenandung kesedihan
Tika kau cuba mengubat hati mu yang rawan
Bila bulan tak kunjung datang
Bila bulan tidak kunjung kelihatan
Mahukah kau dengar betapa setianya aku dahulu?
Ku buangkan maruah diriku
Ku buangkan semua rasa malu
Setiap malam di sinilah aku menunggu
Setiap masa aku berlagu
Setiap saat aku memujuk rayu
Mengharapkan si bulan yang kurindu mendengarkan ku
Agar dia menyukai lagu-laguku
Tak pernah aku rasa jemu
Tak pernah aku rasa ragu
Kerana aku yakin suatu hari dia pasti akan datang ke ribaku
Dapatkah kau bayangkan hancurnya hati
Pabila diri rasa tak dihargai
Bukan sahaja tak dibalas segala puji
Langsung tak dijawab salam yang diberi
Mentang-mentanglah di kelilingi bintang yang berkerlipan
Duduknya pula tinggi di awan
Tak dipedulikan kita yang tinggal di bawahan
Sebelah mata pun langsung tidak dipandang
Merak dan gagak takkan jalan seiringan
Andai sang rembulan muncul lagi nanti
Sampaikan salam ku pada dirinya
Andai dia bertanya salam dari siapa
Katakan dari seseorang yang pernah memujanya
Dari seseorang yang pernah mengaguminya
Memuja keindahan ciptaannya
Mengagumi cahayanya yang nampak sempurna
Beginilah jika menyintai cuma dengan memandang paras rupa
Menyanjungi berdasarkan cantik ciri zahirnya semata
Benarlah sabda Baginda saw
Pilihan utama, carilah yang paling beriman
Tak semena-mena rembulan menjelma
Bila beralih awan yang melindunginya
Dalam remang-remang sinar cahaya
Terlihat Sang Pungguk mengepakkan sayapnya
Perlahan-lahan meninggalkan dahan kesukaannya
Kibasan sayapnya nampak menghiba
Nampak berat beban yang ditanggungnya
Luka di tubuh nampak darahnya
Luka di hati tiada siapa dapat merasa
Mengharapkan cuma masa dapat mengubatinya
Begitu jauh Sang Pungguk terbang
Sekalipun langsung tak menoleh ke belakang
Makin lama makin menghilang
Berkerat rotan berpatah arang
Ibarat kaca yang terhempas ke lantai
Hancur berderai, berkecai-kecai
Tanpa menyadari, airmata Sang Bulan sedang berlinangan
Kekasih yang dipuja sedang dalam kesedihan
Nukilan: Si Takluk Jagat
24 Ogos 2018
Derita Sang Rembulan (2)
Aku menyapa Sang Rembulan yang sedang bersedih
Aku terharu mendengarkan dia yang sedang merintih
Nampak butir-butir airmatanya jatuh menitis
Tiba di bumi menjadi gerimis
Duhai rembulan mengapa berduka?
Janganlah kau berterusan menjeruk rasa
Andai airmatamu tidak kau seka
Seisi alam kan turut menderita
Seisi dunia kan turut sama sengsara
Dengan mata berkaca Sang Rembulan berkata
Wahai Si Takluk Jagat
Hati mana yang tidak bersedih
Jiwa mana yang tidak merintih
Bila diri ditinggalkan kekasih
Segala-segalanya kan berasa pedih
Mengapakah jalan ini yang dia pilih?
Kenapakah Sang Pungguk seperti tak memahami?
Atau sengaja dia pura-pura tak mahu mengerti?
Kewujudan aku ini atas kuasa Sang Illahi
Kecantikan aku ini anugerah Yang Maha Tinggi
Tiada upaya melakukan sesuatu tanpa izinNya
Tak mampu aku mahu menjawab salamnya
Tiada berdaya aku mahu memuji nyanyiannya
Cuma tolonglah pesankan padanya
Andai kelopak bunga tiba-tiba mekar
Bila bintang tiba-tiba bersinar
Itulah tikanya aku sedang menghayati
Itulah masanya aku sedang menikmati
Lantunan suaranya tika dia sedang menyanyi
Susunan aksaranya masa dia sedang berpuisi
Walau dari kejauhan nampak aku bahagia
Saban malam menyinarkan cahaya
Dikelilingi bintang-bintang yang berjuta
Tapi bintang tak boleh berkata-kata
Dan cahayaku itu biasan cahaya Sang Suria semata
Aku sebenarnya sangat kesunyian
Sedari dahulu aku keseorangan
Nyanyian-nyanyian itulah yang menghilangkan sunyi
Pujian-pujian itulah yang buat aku rasa dihargai
Aku tertanya-tanya pada diriku
Selepas ini lenakah aku dapat beradu?
Atau sekelip pun tak dapat melelapkan mata
Kerana tidak lagi dapat mendengar suara
Tiada lagi kan terdengar Sang Pungguk bernyanyi
Tiada lagi kan terdengar dia berpuisi
Pasti aku akan rindukan suaranya memuji
Aku akan rindukan suaranya berperi
Dari kejauhan terdengar Sang Pungguk berlagu
Berirama pilu
Bernada syahdu
Berbolak balik hatinya yang rindu
Mendengar pengakuan Sang Kekasih yang di rindu
Timbul rasa kesal menuduh melulu
Rasa sesal membuat keputusan terburu-buru
Dicuba kuatkan hatinya yang rawan
Terbang dia datang di dahan kegemaran
Mula berbunyi bersahut-sahutan
Mula menyanyi dalam kegelapan malam
Kembali menyanyi
Kembali berpuisi
Kembali memuji si buah hati
Begitu merdu
Begitu syahdu
Meruntun qalbu
Seluruh rimba jadi terkedu
Mendengar nyanyian bernada pilu
Yang sudah lama tidak didengari
Sejak Sang Pungguk merajuk hati
Di tengah malam kelopak bunga mengembang mekar
Dan di langit cahaya bintang semakin memancar
Bagai meraikan cinta yang kembali bersinar
Pertemuan semula selepas perpisahan
Dari situ terciptanya satu kiasan
Bagai Sang Pungguk rindukan Bulan
Aku yang sekadar jadi pemerhati
Terusik jua di dalam hati
Terus menginsafi kebesaranNya Illahi
Jika cinta duniawi sudah sehebat ini
Apatah lagi cinta hakiki
Ya Allah Ya Tuhanku ...
Kurniakanlah aku cinta sejati
Anugerahkan aku cinta abadi
"Illahi anta maksudi
Wa redha kamathlubi"
Nukilan: Si Takluk Jagat
24 Ogos 2018
No comments:
Post a Comment