FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
BAHTERA CINTA
BAHTERA CINTA
Aku pernah merasakan karam di lautan
Bila pelayaran cinta tewas dalam perjalanan
Pilunya hati melihat bahteraku yang tenggelam
Luluh jiwaku memandang puing-puing yang berselerakan
Sengaja aku membiarkan ombak melambung jasadku
Kerana tika itu telah sirna semangat dalam diriku
Biarlah aku lemas di dalam lautan yang bergelora
Daripada aku hidup berkalang jiwa yang merana
Tapi ketentuan Sang Khalik siapa yang dapat meneka
Badai yang ganas tidak mampu meragut nyawa
Tanpa izinNya apalah yang si air laut dapat lakukan
Aku tiba di daratan tanpa sedikit pun cela di badan
Bertahun lamanya aku hidup dalam sengsara
Bagai Majnun yang gila merindukan Si Lailanya
Siang atau malam pun aku langsung tidak ambil peduli
Cuma wajah dan namanya ikut berdetik bersama nadi
Hinggalah Dia menghadirkan Sang Bidadari dari kayangan
Yang meyakinkanku bahawa kudup mati pun masih boleh dihidupkan
Tanpa putus asa dia terusan menyirami dan membaja
Berkat keikhlasannya pohon yang mati kembali berbunga
Taqdir, apakah mahumu lagi pada kali ini?
Kamu seakan cemburu melihat aku dicintai
Mengapa kini aku berada di pantai yang sama?
Sedang memerhati bahtera yang terumbang-ambing dihentam gelora
Nukilan: Si Takluk Jagat
18 Oktober 2018
No comments:
Post a Comment