Menu

Thursday, 31 January 2019

#STJ2019_032 - AIRMATA RINDU

FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT

Image may contain: text

AIRMATA RINDU


Airmataku ...
Begitu setia sekali kamu dengan rinduku
Senada juga kamu dengan degup jantungku
Waktu irama sayu ini untuk kesekian kalinya dinyanyi dan dikompang
Kamu pun perlahan meriak, di pelupuk mataku kamu mula bergenangan

Kamu memang sudah tahu akan kisah rinduku
Dan kamu memang sepenuh hati dapat merasai deritaku
Ayuh kita bersama menghayati kidung ini yang kembali bergema
Aku mahu menyuntingkan rinduku ini untuk dijadikan kekata

Bait demi bait aksara puisi aku nukilkan
Baris demi baris syair syahdu aku tuliskan
Semakin aku hanyut dalam rasa, semakin melaju kamu membasahi pipi
Tertampung hangat di netraku sebelum bulirmu menitis ke bumi

Terima kasih airmataku
Kamu selalu menjadi sumber ilhamku
Kalau titismu boleh aku pinjam dan aku tuangkannya di hati
Mungkin sahaja hangatmu boleh menghidupkan semula hatiku yang telah hampir mati

Tapi andai nanti hatiku kembali tersenyum dan menyanyi
Pasti hadirmu pula yang akan aku rindui
Kerana di mana lagi aku akan ketemu teman sesetiamu?
Malam atau siang, panas atau hujan ... kamu tetap selalu menemaniku

Nukilan: Si Takluk Jagat
26 Januari 2019

No comments:

Post a Comment