FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
BARZAKH (2) - JANJI ALLAH ITU PASTI
Mahu menangis namun tiada lagi berairmata
Cuba berteriak tapi cuma menggema di dalam dada
Terputus sudah ikatan pertalian dengan sekelian penghuni bumi
Gementar hati bila membayangkan apa yang bakal dihadapi
Terbit rasa ngeri ...
Di manakah kekasih hati yang kononnya berjanji sehidup semati?
Rakan karib yang selalu membayangi juga telah menghilang dari sisi
Di sini, hanya jasad yang mula membusuk ini terbujur keseorangan
Bergelimpangan sendirian tanpa ada yang mahu menemankan
Dan cacing-cacing mulai memanjat ke atas kain kafan ...
Apakah yang sedang menunggu di hadapan?
Sudah cukupkah segala bekalan dan amalan?
Terasa darah panas menyirap naik ke muka
Bila membayangkan soal jawab yang bakal menjelma
Ular dan kala pun muncul dari rekahan bumi ...
Semakin menggigil badan yang dalam kedinginan
Tika sanak yang mengiringi mulai meninggalkan tanah perkuburan
Satu demi satu derap tapak itu terdengar menghentak dan menggema
Menanti kiraan tujuh langkah sebelum perbicaraan pertama bakal bermula
Ya Allah ... ampunilah segala kesalahanku
Dan waktu yang dinanti-nantikan kini telah pun tiba
Dua sosok yang senantiasa berganding bersama itu akhirnya menjelma
Berpasangan ... sejoli ... dalam menjalankan tugasan yang diberi
Dahsyatnya tidak terperi ... sehingga terbakar papan penutup lahad dijilat api
... janji Allah yang mana lagi ingin kamu dustai?
Nukilan: Si Takluk Jagat
03 Februari 2019
No comments:
Post a Comment