FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
DIK, PINJAMKAN AKU RINDUMU
Dari kejauhan sayup-sayup kedengaran petikan kecapi
Lembut nada melodinya mengalun menjarah hati
Mengiringi pilunya sedu sedan irama nyanyian
Mengupas satu per satu aksara dari hati yang kasmaran
Gemuruh laut terdengar berteriak garang
Samudera biru terlihat luas membentang
Tetapi semuanya itu bukanlah apa-apa
Cerita tentang mereka cuma aku jadikan pelengkap aksara
Aku bertanya pada gelap malam tentang rahsiamu
Dan aku mengadu pada bulan sabit tentang rinduku
Namun rupanya kamu sedang mengintai di balik tabir jendela
Lalu gemintang mengukir senyummu nun jauh di angkasaraya
Diperbuat dari apa matamu itu dik?
Indah sinarnya menyejukkan hati
Ada apa dengan tatapmu itu dik?
Tajam renungnya membakar sanubari
Dik ...
Pinjamkan aku rindumu
Dan ajari aku bagaimana untuk tidak melupakanmu
Biar segala rasa itu bersarang di dalam dada
Kerana aku mahu menulis tentangmu hingga ke hujung nyawa
Nukilan: Si Takluk Jagat
18 Mac 2019
No comments:
Post a Comment