Menu

Friday, 29 March 2019

#STJ2019_086 - TABAHNYA BETING DAN SETIANYA TEBING

FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT

Image may contain: ocean, sky, cloud, outdoor, text and nature

TABAHNYA BETING DAN SETIANYA TEBING


Kidung sunyi itu semakin sayup kedengaran
Berirama hiba dibawa hembus sang bayu lautan
Kilau emas lembayung bagaikan turut sama mengerti
Indah sinar jingganya senantiasa menghiburkan laranya hati

Aku sering memandang jauh nun ke seberang sana
Di titik pertemuan tebing langit dan hujung samudera
Kerana di situ akan terlihat redup matamu yang sayu
Tersenyum sambil merenung tepat ke retina mataku

Pasrah aku dengan taqdir yang datang melanda
Akur aku dengan Qadar yang telah terpahat dan tertera
Sejujurnya terlalu hebat rindu yang tersimpan di dada ini
Dan takkan pernah aku memungkiri janji yang pernah sama-sama kita patri

Debur ombak itu seakan tidak jemu menghempas beting
Hangat cahaya sang suria saban hari terik mengelus tebing
Tabahnya beting … sedari dahulu lagi masih tetap bertahan
Setianya tebing … sekalipun tidak pernah merungut kepanasan

Diri ini umpama sebuah bahtera yang sedang dipermainkan pawana
Seringkali aku berfikir adakah gerhana ini akan begini selamanya
Namun aku meredhai apa pun yang telah dituliskan oleh Si Rabbul Izzati
Cuma aku memohon agar rindu ini akan tetap di hati hingga akhir hayatku nanti

Nukilan: Si Takluk Jagat
28 Mac 2019
#STJ2019_086


No comments:

Post a Comment