FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
TENTANG RINDU DAN TENTANG PERASAAN
Adikku ... mendekatlah
Masih mahukah kamu dengari aku bercerita lagi
Ini cerita tentang rindu dik ... cerita tentang perasaan
Yang kisahnya tidak diberitahu oleh sesiapa ... baik manusia mahupun syaitan
Hati dik ... zahirnya hanya seketul darah yang terperangkap di dalam selangka
Belahlah dan buka ... tidak akan kamu temui apa-apa yang istimewa
Tapi andai kamu melihatnya dari retina mata nurani
Rahsianya melangkaui tujuh petala langit dan tujuh petala bumi
Bukan hanya teka-teki tentang jalur orbit rembulan dan mentari
Bahkan bakal terjawab segala tanda tanya penciptaan langit dan bumi
Tidak akan ada lagi rahsia ghaib alam ruh dan alam malakut
Kerana dia mampu menyingkap lajur tabir Wahdatul Ujud
Siksanya kalau cuma dapat melihat kelibat bayang-bayang
Tapi entah mengapa jemari tidak sampai untuk menggenggam
Deritanya memikul rindu yang senantiasa hadir bertandang
Tapi entah bila bertemu untuk melampiaskan sesak rindu dendam
Syukurlah kamu masih boleh tersenyum dik ... walaupun tidak tahu karena
Sedangkan bagaimana mahu tertawa pun aku telah lupa dik ... aku sudah terlupa
Sabar menunggu masa ... tabah menghitung waktu
Melebur dalam rasa ... tenggelam dalam rindu
Nukilan: Si Takluk Jagat
28 Mac 2019
** kelibat - sekali lalu/sekilas
No comments:
Post a Comment