FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
RINDU SANG PENCINTA
Adikku ...
Ada sinar sendu yang meriak di netramu
Ada rasa rindu mengalir bersama airmatamu
Sabarlah dik ... ini semua taqdir Yang Maha Kuasa
Menangislah ... kalau itu dapat meredakan segala derita
Bertemu dan berpisah itu adalah asam garam duniawi
Apa yang dicita dan apa yang diberi memang sering tidak selari
Kita hadapi sahaja dik ... walau apa pun taqdir yang mendatang
Kerana kalau sudah jodoh tiada siapa pun akan dapat menghalang
Biarlah zahir kita terlihat seperti tiada apa yang berlaku
Tanpa seorang pun nampak batin kita yang kian menumpuk rindu
Biar dunia melihat kita sering tersenyum dan tertawa
Tentang rindu ini cukuplah kalau kita mengadu kepadaNya
Rasa cinta ini telah membentuk kudup dik ... walau harumnya tak terhidu oleh sesiapa
Aku menanti saat mekar kembangnya dik ... agar nanti dapat ku petik kuntumnya
Kelak bila aku sematkan kelopaknya di relung hati
Pasti kamar hatiku kan senantiasa segar, akan semerbak mewangi
Apa yang kita tanggung dik ... hanya kita sahaja dapat merasai
Takkan bisa diungkapkan walau sehebat mana kita tuangkan dalam puisi
Yakinlah semua ini adalah anugerah dari Sang Maha Pencipta
Buat insan seperti kita ... yang terlalu mahu mencinta dan dicinta
Nukilan: Si Takluk Jagat
09 Jun 2019
No comments:
Post a Comment