Menu

Monday, 29 July 2019

STJ2019_139 - LELAKI SENJA

FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT

Image may contain: sky, twilight, cloud, outdoor, text and nature

LELAKI SENJA


Masih lagi dengan senja
Masih lagi tentang warna tembaga
Lelaki tua itu akan mengunjungi tempat itu saban hari
Bersendirian ... cuma bertemankan tongkat kayu sebagai penyemangat diri

Dahulu senja itu pernah menjadi saksi bisu
Dan jingga itu tidak akan mahu memberitahu
Bangku usang itu juga sangat setia menyimpan rahsia
Akan serangkap kisah bahagia yang pernah dipuisikan di sana

Di situ sebuah cinta pernah hadir
Di situ sebuah janji pernah terukir
Bersaksikan indah temaramnya hari
Berwalikan merdu kidungnya sang kawi

Ketika itu dunia terlihat indah dengan bermekarannya bunga di taman
Dan cinta terasa hangat dalam sinar mentari yang sungguh membahagiakan

Rupanya angin sore membawa watikah perutusan pilu
Tentang kembangnya lily tidak sempat menakung madu
Gugur kudup separa mekar di terpa pawana nan datang menggila
Kini tinggallah dia sendiri melihat senja dari sudut pandang yang berbeza

Entah esok entah lusa dia akan berangkat pulang menemui Sang Illahi Rabbi
Membawa bersama segala kenangan yang selama ini disimpan sebegitu rapi
Tapi dia tidak bimbang dan tidak pernah sekali pun dia merasa takut
Kerana dia meyakini sang kekasih hati sedang menantinya nun di sebalik tirai ajal dan maut

Nukilan: Si Takluk Jagat
26 Jun 2019

*Watikah - berita / perkhabaran

No comments:

Post a Comment