FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
CATATAN RINDU SI DERMAGA
Labuhan itu terlihat sepi
Tanpa lambaian pelepah nyiur dan tanpa riuh siul merpati
Sesungguhnya pantai itu dahulu pernah jadi saksi bisu
Akan dua jiwa yang sama-sama berahsia tentang hati rindu
Walaupun selepas itu tiada lagi sua muka
Pun tiada lagi kan terlihat manis senyum mesra
Bahkan tidak pernah ada syahdu lambaian tangan
Dan tak pernah jua ada sedih ucapan selamat jalan
Kalau difikir-fikirkan
Pasti akan ada catatan perincian perjalanan
Di buku ledjer pada bahtera
Dan juga pada helaian rekod di kantor dermaga
Sebagai bukti kisah pertemuan kedua-duanya
Sebagai saksi pertemanan yang pernah ada
Dongengan kisah bahtera kelana yang pernah berlabuh di sini
Sebelum ia belayar pergi dan tak pernah lagi kembali
Tinggallah dermaga keseorangan merenungi luasnya samudera
Dan bahtera belayar sendirian menongkah arus yang terkadang kejam hempasnya
Biarlah catatan rindu itu abadi terlakar di bahtera qalbi
Dan kenangan indah itu akan kekal terpahat di dermaga hati
... kerana keduanya meyakini bahawa apa yang telah tersurat adalah rahsia Sang Pencipta
Nukilan: Si Takluk Jagat
07 Julai 2019
No comments:
Post a Comment