FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
AMANAHNYA TANAH
Hayatilah rembulan sewaktu masih bercahaya
Biar hati tidak merindui kala gerhana
Tataplah sepuasnya selagi terlihat pelangi
Nanti tanpa mentari hanya hujan kan nampak menitis
Renunglah ke angkasa ketika kejora galak bersinar
Kelak kerlipnya akan memudar bila hadir halilintar
Nikmatilah nyamannya bayu pagi yang meniup lembut ke pipi
Sebelum kulit muka rasa terpanggang dek hangat pancar matahari
Pejamkan matamu dik, tika aku menyanyi
Dengarkanlah liriknya bait demi bait
Itu lagu dari hati
Itu suaranya qalbi
Kembaraku masih jauh dik, dan jalannya penuh liku
Aku sedang menandai segalanya, samada manusia atau pun batu
Nanti bila aku menelusuri denai yang sama waktu aku melangkah pulang
Akan ku kutip segala yang ku tandai itu, kerana merekalah teman sejati yang menemaniku berpetualang
Renungkanlah pesan si Jalalludin Rumi yang indah
Siapa lagi lebih amanah berbanding dengan tanah
Tidak akan pernah khianat dan tiada pernah akan cuai
Kerana apa yang kamu tanam, itulah juga yang akan kamu tuai
Nukilan: Si Takluk Jagat
30 Julai 2019
No comments:
Post a Comment