FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
RAHSIA MASA SANG MAHA PENCINTA
Cuba sedaya upaya menyeka airmata yang berkeras mahu menerjah keluar
Sambil lengan memangku jasad yang bergelimpangan kaku terkapar
Tiada lagi hangat tubuh seperti kelmarin dulu
Hilang sudah senyum manja dan raut wajah nan ayu
Telah membeku darah di sepanjang lajur urat nadi
Tanpa memberi salam Izrail pun melangkah dan berlalu pergi
Meninggalkannya yang terkulai lemah dalam kemas rangkulan lengan
Punah istana ranap runtuh bersama segala impian
Tersengguk adalah bahasa tubuh bagai pembias rasa
Aras penanda bahawa bulir air itu tak dapat lagi diseka
Mencurah laju menuruni pipi dalam pandang mata berkunang
Dan di luar sana menderu turun hujan diiringi badai yang bertiup kencang
Tiada aksara yang mampu mewakili betapa mendongkolnya qalbu
Teganya taqdir telah dipahat sebegini pilu
Timbul pertanyaan mengasak-asak di benak fikiran
Tabahkah aku menjalani hari mendatang dengan memori yang jelas terpajang dalam ingatan
Ternyata kita tak bisa menyingkap rahsia masa Sang Maha Pencinta
Sesungguhnya aku bersaksi bahawa perancanganNya sangatlah sempurna
Setelah puluhan purnama berasa derita dijerut tali yang erat mencengkam
Kini bertandang pula bahagia ketika melayani hati yang kuat merindu dendam
Nukilan: Si Takluk Jagat
16 Ogos 2019
No comments:
Post a Comment