FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
WIRACARITA RAMAYANA
Kelmarin aku mimpikan Shinta
Sang Dewi Bumi dari watak wiracarita Ramayana
Puteri cantik yang khabarnya reinkarnasi dari Laksmi
Bakal cemburukah Rama padaku seandainya dia mengetahui?
Gerangan apakah yang mengundang kamu ke sini wahai puteri rupawan
Tiada perlu mencemar duli kerana pentas bangsawan sudah lama aku lupakan
Aku memang sering di sini menantikan pajangnya purnama
Yang sinarnya akan menerangi nabastala tapi menghilang pula seiring arunika
Andai tiada rembulan aku akan merenung ke ruang angkasa paling gelita
Mencari kalau-kalau ada cahaya yang terimbas dek netra
Aku pernah menepuk bahu Varna Brahma
Menegurnya sambil mengamati sekilas kerumitan swadharmanya
Jangan pernah kamu beranggapan bahawa hitam itu hina wahai leluhur qiblat kerohanian
Goreslah kulit Sudra itu dan kamu akan lihat merah jugalah darahnya yang bersemburan
Shinta ... mengapa bertanya pada Gunung Agung tentang rembulan nan tiada terbit siang
Kerana sang suria yang bakal muncul dari langit barat juga bukanlah suatu keanehan
Dan aku tidak fikir semudah itu teguranku dapat memuaskan hati Varna Brahma
Ternyata benar sangkaanku kerana selepas itu dia mula bertanya tentang misteri dan keanehan pula
... lakum dii nukum waliyadin ... "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku"
Nukilan: Si Takluk Jagat
18 Oktober 2019
No comments:
Post a Comment