FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
Medium Seni Menulis
Judul: Cinta Di Puncak Arasy
Karya: Si Takluk Jagat
Tema: Percintaan (1)
CINTA DI PUNCAK ARASY
Kekasihku ..
PintuMu telah aku ketuk berkali-kali
Bagaimanakah lagi aku mampu berpaling pergi
Tapi angkara jasad zahir ini yang kuat mengekang
Tak bisa aku mencari walau Kamu bersembunyi di dalam terang
Wahai burung Anqa yang mendiami puncak Gunung Falaj
Nanti bila di hatiku telah bermekaran bebunga cinta
Dan bila Sang Algojo telah menyempurnakan tugasannya
Terbangkanlah aku untuk menyatu di puncak Arasy
Di sana sedang menunggu cinta yang hakiki
Di sana sedang menanti rindu yang abadi
Di sini ketandusan rahmatNya membuat aku cuma melihat ambigu
Tapi irama denyut kasihNya selalu menggema di sela hatiku
Kerana cinta, kelak api yang berkobar-kobar akan jadi menyenangkan
Dan kerana cinta, amarah akan berubah menjadi keramah-ramahan
Ternyata kalau cuma dengan kata-kata, keindahanMu tak bisa diucap
Kerana intipati dari cinta itu adalah sebuah rahsia yang tidak akan terungkap
Wahai Raja Si Muraq ...
Izinkanlah aku menatahkan kalimah cintaMu di dada
Dan izinkanlah aku terbang mendahului segala margasatwa
Sesungguhnya rasa cinta ini semakin kuat membelenggu
Dan tiada makhlukMu yang sanggup menampung beratnya cintaKu
Titimangsa: 20 Januari 2019
Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment