FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
Even - 01 - SAP - Madah Asmara- 2019
Tema : MADAH ASMARA
Judul : INTERAKSI AKAL "VISE VERSA" INTROSPEKSI ALAM
Karya : Si Takluk Jagat
Isi :
Titi Mangsa : 14 Februari 2019
Tidak aku pedulikan lagi kejora yang bersinar terang
Terasa sirna serinya purnama yang sedang mengambang
Kerana yang terbayang dalam mataku cuma wajahmu
Telah ku pajangkan dalam hati lukisan yang terlukis senyummu
Jingganya temaram senja tidak lagi seindah dahulu
Mesra sinar mentari pagi tidak dapat meredakan rinduku
Swastamita hilang pesonanya tanpa kamu di sisi
Hambar aroma arunika tanpa bau parfummu nian wangi
Aku bertanya kepada ilalang yang sedang menari
Dimanakah gerangannya kekasihku bersembunyi?
Tapi ilalang cuma membisu, enggan mengganggu khusyu' ratibnya
Asyik bertasbih sambil daunnya melenggang ke sini dan ke sana
Menghindari gerimis, aku singgah di anjung balai kencana
Kalakian terdengar dehem guruh mengalunkan balada
Wahai Si Takluk Jagat ... berhentilah mencari
Terimalah hakikat yang kekasihmu telah pun lama mati !
"Benarkah kekasihku telah lama pergi bertemu Sang Penciptanya?"
"Tapi bukankah baru semalam sahaja aku memeluknya?"
"Bahkan hangat pelukan itu sehingga kini masih lagi terasa"
Guntur tunggal yang meledak keras tidak lagi aku hiraukan
Kerana interaksi akal cuba memahami introspeksi alam
... hatta, bulir bening pun mulai menggenangi kelopak netra
Cemeti dewa melibas sekilas dan sempat bergumam sendiri sebelum berlalu pergi
"Hmmm ... masih bersisa lagi cinta Si Majnun di zaman ini?"
Nukilan: Si Takluk Jagat
14 Februari 2019
Tag: Dewi Kala
Indra Nalendra
No comments:
Post a Comment