FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
(Balasan Puisi Erminarahayu)
KAU DAN AKU
By: Erminarahayu
Kau adalah pagi....
Merebak seiring malam purna....
Subur dirahim mimpi nan asri terjalin
Pun yang tak asing lagi dengan gigil
Walau hadirmu disambut oleh embun menggenang....
Tapi percayalah.....
Pijar kasihku kan sehangat cahya fajar
Bilur biruku dilindap harap bak gersang tanpa pangkal ujung
Namun takkan menjeda langit berpuitis
Saat binar pelangiku telah menampak dan hamburkan warna...
Tiada musim hujanpun kan membentuk lengkung yang indah....
Dan tertata apik diambang cakrawala....
Marilah tuan....
Sulami jiwa merenda sebuah kisah....
Jelagakan pelangi kebiduk kita agar bermetamorfosa
Taklukkan kelakar badai yang dikaruniakan oleh Tuhan dalam pengarungan...
Dan mendayung bersama menuju pulau impian.
03 April 2019
AKU DAN KAMU
(Balasan Puisi Erminarahayu)
Aku ...
Yang kamu panggil pagi
Atau boleh sahaja kamu gelar pemusnah mimpi
Kerana hadirku di antara lindap pendar rembulan dan pijar terik mentari
Dan rangkak pajangku samar berselimutkan rona-rona merah lazuardi
Sebermula menyeruak sisa sepuh kelam malam
Syahdan menyelinap ke relung lereng gunung yang renggang
Lalu semburat cahaya langsung mencumbui ranah yang rata
Menghangatkan laguna yang berbeting karang
Dan mengusir pulang embun yang menggenang
Aku datang Puan ...
Menjinjing bejana berisi aksara
Serpihan puing-puing yang berselerakan di samudera
Aku mahu ikut serta berdayung ke pulau impian
Kerana aku mahu menyongsong badai yang pernah merudapaksa bahteraku hingga tenggelam
Di sana ada ceritera romansa duka
Juga rindu dendam yang membara
Nukilan: Si Takluk Jagat
04 April 2019
No comments:
Post a Comment