FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
TUNDUK PADI BERISI
Angin sawah mencuri pandang pada tangkai padi yang berjuntaian
Sempat bergumam sebelum menyelinap di jalinan akar yang berselerakan
Resmi padi, getusnya
Kerana juntai buahnya hampir menyentuh bumi seiring menguning daunnya
Begitulah padi, semakin berisi semakin merendah diri
Sebagai i'tibar pada sesiapa yang mahu memahami
Mohon dijauhi dari kejinya sifat riya' dan taqabbur
Mohon diampuni juga kiranya ada tutur bicara yang terlanjur
Ketika hayun kaki tidak mahu berbai'at dengan qiam
Dan suara hati enggan beradatkan langgam dan resam
Membara hasrat ingin mengetahui bagaimanakah rupa pinggirnya dunia
Ke barat atau ke timurkah patut dituju untuk memulakan kembara?
Bukan sehebat Demak yang melambung tombak lalu menahan dengan dada
Tidak juga sekental Jebat yang berani menderhaka kerana membela saudara
Cukuplah dengan budi bahasa yang di dalam diri telah berakar umbi
Dan berbekalkan barang sekerat dua petua buat menyemangati diri
Rabbish rahli sadri wayasirli amri wahlul u'datam millisa ni yafqahu qauli ...
(Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku. Dan mudahkanlah untukku urusanku. Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku. Supaya mereka mengerti perkataanku)
Nukilan: Si Takluk Jagat
11 Julai 2019
No comments:
Post a Comment