FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
(Balasan Puisi Amir Debu Alam)
CAMAR
Keterpisahan kita
di ombak sangka
Membawa diri semakin hanyut
di lubuk-lubuk kelekaan
kita jahitkan mimpi seribu angan
dan kita lupa mengamati cermin
Siapa kita?
Apa tujuan berseloka?
Di lantai berkaca.
Apakah seru itu tak kedengaran?
lerai dalam simpulan angin
atau telinga kita tersumbat angan?
kebenaran yang bergelimpangan
kita bergegas ke kebun nafsu
menyemai mimpi palsu
meramas kesucian
menjadi debu-debu noda
lalu memasang topeng kemunafikan
merentas belantara kealpaan
menuju jurang penyesalan.
Bila mau kembali?
Ke dalam diri
Duhai sang camar yang keliru mencari
menyongsong angin melayar mimpi
tak bertepi
Mengertilah!!!..."Camar"
Bukan di sini rumahmu abadi.
Tinta Lidah Kebenaran
Amir Debu Alam
14 Julai 2019
PASRAH SI CAMAR
(Balasan Puisi Amir Debu Alam)
Laut ... lama sudah aku dengar kamu berseru
Akan khawatirmu tentang membiaknya kebun-kebun nafsu
Ketahuilah sahabat ... camar ini tiada sedang keliru
Bukan juga bermimpi palsu kerana tidak pernah terpejam kelopak netraku
Lihatlah gemalai hayun sayapku ketika menyusur bayu
Dan dengarkan merdu ratibku tatkala rindu hadir bertamu
Tiadalah belantara alpa akan dapat merasuk minda
Dan lubuk leka juga tiadakan sempat memalit dosa
Lenggang tubuhku bukan menarikan rentak perang
Bukan juga serakah langkah gelandangan sembarangan
Tiada niat di hati hingga mahu menakluk negeri
Dan tiada hasrat juga untuk tunduk mencemar duli
Bukannya seru tiada terdengar
Tapi tiap kibas sayap telah tercatat di kitab Qadar
Di saat qudrat mahu bangkit untuk membantah
Di kala itulah qalbu membisikkan betapa indahnya berasa pasrah
Ya Illahi Rabbi ... sesungguhnya solatku
Ibadahku
Hidupku
Matiku
Hanyalah kerana Allah, Penguasa sekelian alam
Nukilan: Si Takluk Jagat
14 Julai 2019
No comments:
Post a Comment