Menu

Tuesday, 1 October 2019

STJ2019_183 - TEKAD SANG CAMAR (Didedikasikan Untuk Nur Asyifa)

FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT

Image may contain: ocean, sky, cloud, text, outdoor, nature and water

TEKAD SANG CAMAR(Didedikasikan Untuk Nur Asyifa)


Hasrat camar kecil ini ingin sekali terbang menyusuri angin
Ikut sama menari meniti ombak yang galak meriak
Menjelajahi laut biru yang luas hamparnya
Sambil melayani rasa rindu yang kuat membara

Alangkah indahnya bias cahaya pelangi petang
Melukis pesona pada layar angkasa nan saujana mata memandang
Hujungnya menyentuh bentang permukaan samudera
Seperti menyedut air dari kolamnya lalu membancuhnya menjadi sapta warna si bianglala

Dahulu aku cuma dapat menatap segala keindahan itu dari tebing yang tinggi
Kerana aku menyedari setakat mana sahajalah kemampuan diriku ini
Dahulu aku berasa aku hanyalah seekor camar kecil yang tiada berupaya
Tapi ternyata perancangan Allah swt itu tiada siapa yang dapat menjangkakannya

Dititipkan semangat padaku lewat seekor helang yang gagah membelah angkasa
Yang meyakinkan aku bahawa asa adalah tangga segala jaya
Dia menggamitku untuk bersama terbang beriringan
Hingga aku percaya bahawa aku boleh meneroka langit yang tiada bersempadan

Tuhan … kurniakanlah aku hati sekeras waja
Agar aku bisa sekokoh karang di dasar samudera
Pasti nanti aku bukan sekadar berani mengharung badai yang menerjang keras
Malah aku kan mampu terbang menembusi pelangi indah yang membias di angkasa luas

Nukilan: Si Takluk Jagat
16 September 2019


No comments:

Post a Comment