Menu

Tuesday, 1 October 2019

STJ2019_184 - SELAMAT JALAN IBUNDA (18 September 2019)

FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT

Image may contain: one or more people and text

SELAMAT JALAN IBUNDA

(Al-Fatihah untuk ibuku tersayang yang telah kembali ke Rahmatullah pada 18 September 2019)

Ibu ... hari ini izinkanlah aku menitiskan airmata
Sewaktu bersendirian bersamamu di bungkamnya sebuah pusara
Ya Allah ... senyum ikhlas yang sering terukir di wajah itu kini tiada lagi
Digantikan dengan sepasang nisan yang menandai tanah merah yang baru sahaja dikambus kembali

Terima kasih kerana pernah mengizinkan aku menumpang rahimmu Ibu
Ampunkanlah aku kiranya semenjak itu aku telah mulai menyakitimu
Saratnya mengandungkanku telah membuat kulit perutmu meretak
Siksanya melahirkanku malah hingga membuatkan dagingmu terkoyak

Ibu ... halalkanlah setiap titis susumu yang aku minum
Ikhlaskanlah juga tiap suap makanan yang telah masuk ke dalam kerongkong
Aku berbangga Ibu, kerana separuh darah yang mengalir di tubuhku ini adalah darah serikandimu
Manakala sebahagian lagi darah perwira milik Ayah yang telah pergi lama dahulu

Namun aku sedih Ibu ... kesedihan yang tidak dapat aku gambarkan dengan kata- kata
Jiwaku kosong Ibu ... umpama sekuntum mawar yang tiada lagi berwarna
Begini rupanya rasa sebuah kehilangan
Tidak terseka airmata tika mengutip sisa-sisa cebisan kenangan

Selamat jalan Ibu, selamat berkelana di taman abadi
Aku meredhakannya Ibu, aku tahu di sana Ayah sedang menanti
Dan aku meyakini walau betapa besarnya kasih aku kepadamu
Pasti akan lebih besar sayangNya Allah swt terhadap dirimu Ibu

... Ya Allah Ya Tuhanku ... Kau cucurilah rahmat ke atas roh-roh ayah dan ibuku ... semoga mereka ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh ... Al-Fatihah

Nukilan: Si Takluk Jagat
18 September 2019


No comments:

Post a Comment