FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
AKU ANAK FELDA
Rumah kayu ini pernah menjadi saksi
Pada sekujur tubuh tua yang tak kenal erti letih
Pagi ke petang membanting tulang
Demi sesuap nasi untuk insan yang tersayang
Tanah ini pusaka keluarga
Tempat darah pernah tertumpah
Bukan sekadar pemangkin detak nadi peneroka
Tapi penyambung nyawa bagi keluarga tercinta
Di sini dahulu aku diajarkan tentang hidup
Sambil tubuh bergelumang lumpur dan selut
Berlari ... jatuh tersandung lalu luka di lutut
Bangun dan berlari lagi ... ahhh, jauh dari perut!
Tanpa bai'at tapi ilmu yang diajari lekat di hati
Pesan dan ajaran orang tua membentuk jati diri
Biarlah kalau Pak Menteri mahu menunggang FGV dan pergi mencabar dunia
Kerana sebenarnya kamilah watak utama di dalam sinetron pembangunan FELDA
Hanya kami anak-anak FELDA yang tahu
Hanya kami anak-anak peneroka yang melihat sendiri
Pahit getirnya orang tua kami mencari rezeki
Berapa banyak keringat mereka yang menitis ke bumi
Aku bangga aku anak FELDA
Aku bangga aku anak peneroka
Dan tanah ini akan tetap kekal sebagai pusaka
Nukilan: Si Takluk Jagat
14 Januari 2020
— with Mameq Mameq
No comments:
Post a Comment