DONE
Aku bukan sesiapa, aku hanya mahu berkarya ... Aku bukan Jalaluddin Rumi, aku cuma ingin berpuisi
Monday, 21 October 2019
STJ2019_194 - WIRACARITA RAMAYANA
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
WIRACARITA RAMAYANA
Kelmarin aku mimpikan Shinta
Sang Dewi Bumi dari watak wiracarita Ramayana
Puteri cantik yang khabarnya reinkarnasi dari Laksmi
Bakal cemburukah Rama padaku seandainya dia mengetahui?
Gerangan apakah yang mengundang kamu ke sini wahai puteri rupawan
Tiada perlu mencemar duli kerana pentas bangsawan sudah lama aku lupakan
Aku memang sering di sini menantikan pajangnya purnama
Yang sinarnya akan menerangi nabastala tapi menghilang pula seiring arunika
Andai tiada rembulan aku akan merenung ke ruang angkasa paling gelita
Mencari kalau-kalau ada cahaya yang terimbas dek netra
Aku pernah menepuk bahu Varna Brahma
Menegurnya sambil mengamati sekilas kerumitan swadharmanya
Jangan pernah kamu beranggapan bahawa hitam itu hina wahai leluhur qiblat kerohanian
Goreslah kulit Sudra itu dan kamu akan lihat merah jugalah darahnya yang bersemburan
Shinta ... mengapa bertanya pada Gunung Agung tentang rembulan nan tiada terbit siang
Kerana sang suria yang bakal muncul dari langit barat juga bukanlah suatu keanehan
Dan aku tidak fikir semudah itu teguranku dapat memuaskan hati Varna Brahma
Ternyata benar sangkaanku kerana selepas itu dia mula bertanya tentang misteri dan keanehan pula
... lakum dii nukum waliyadin ... "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku"
Nukilan: Si Takluk Jagat
18 Oktober 2019
Sunday, 13 October 2019
STJ2019_193 - HUJAN DALAM DEFINISI DIARI RINDU
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
HUJAN DALAM DEFINISI DIARI RINDU
Terdengar bunyi rintik hujan menimpa daun jendela
Mencipta irama tak bernota mengiringi petik dawai harpa
Berkolaborasi menjadi satu rentak yang sungguh mengasyikkan
Bergabung dengan imajinasi lalu menghasilkan nada yang menggamit kenangan silam
Lantas satu per satu bayangan kembali jelas terhidang
Seperti menyelak helaian demi helaian lembaran diari usang
Dan segala yang pernah tertulis di situ kini menjelma nyata
Di mana aku adalah satu dari watak utama dalam ceriteranya
Perlahan melangkah datang sesosok wajah dari kelam suasana
Berserta senyum termanis nan tak lekang dari sepasang bibir indahnya
Itulah watak keduanya yang pernah menghiasi hari-hari bahagiaku
Bidadari kurniaan dari Yang Maha Kuasa buat penyempurna hidupku
Kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan dengan lukisan
Keindahan yang tidak mampu dihuraikan dengan penulisan
Di hadapannya aku bagaikan pelukis yang tiada tahu apa-apa
Kerana keanggunannya tidak boleh dilukis di atas helaian kanvas yang biasa
Hangat airmata menyedarkan aku yang hujan telah pun berhenti
Spontan jemari cuba menyelak lagi halaman dari jilid diari hati
Tapi ternyata lembaran selanjutnya hingga helaian terakhir tiada tercoret sebarang aksara
Hanya kosong ... sekosong hati kelana ini yang tiada lagi mendambakan cinta
Nukilan: Si Takluk Jagat
11 Oktober 2019
STJ2019_192 - DISKUSI HATI (Puisi Berantai 3 watak)
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
DISKUSI HATI
(Puisi Berantai 3 watak)
Keterangan:-
1 ... Hati Pujangga
2 ... Hati Purnama
3 ... Hati Pungguk
1: Sungguh memukau sinarmu Purnama. Indah pajangmu di luasnya layar mayapada ...
2: ... dengan bias cahaya terindahku Pujangga. Inilah seadanya yang dapat aku persembahkan pada Pungguk, kekasihku yang setia ...
3: ... memujamu semenjak sekian lama. Seri pesonamu Purnama, akan selalu aku sematkan di sela lipatan hati. Tidak akan pernah pudar, dan janganlah pernah meragui ...
2: ... kesetiaanmu wahai Pungguk kekasihku yang aku kasihi. Walaupun kita tidak ditaqdirkan bersama tapi aku tahu ...
3: ... betapa aku terlalu mengagumimu Purnama. Mengenalimu adalah perkara terindah dalam hidup ini. Aku akan setia menatapmu walaupun hingga seribu tahun lagi. ...
1: ... tanpa ada rasa jemu tanpa pernah rasa sangsi. Indah nian andai dua jiwa saling mengerti, saling mempercayai dan ...
3: ... aku tidak peduli lagi kalaupun aku harus menyanyi hingga akhir hayatku nanti ...
2: ... Pujangga, tika itu nanti sudikah kamu menjadi pengganti? Apabila Pungguk tiada lagi berperi ...
1: ... mana mungkin aku dapat jadi sesetianya Pungguk, yang saban malam berlagu dan menyanyi ...
3: ... memuji si buah hati. Namun sehingga tiba saat itu biarlah aku terus bertengger di sini, di dahan yang tinggi sambil ...
1: ... menghayati keindahan malam ini yang terang rembulannya sungguh luarbiasa dan kedengaran terlalu merdu suara sang pungguk menyanyi hingga ke pagi.
Nukilan: Si Takluk Jagat
08 Oktober 2019
STJ2019_191 - AKROSTIK ZAHRA
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
AKROSTIK ZAHRA
A lunan tasbih menggema di angkasa
P enghuni langit memuji Penguasa
R atib semesta turut mengagumi
I ndahnya ciptaanMu Sang Illahi Rabbi
L ukisan kecantikan yang tiada galang tandingnya
L orek pesona dari keanggunan bidadari syurga
I zinkan aku ikut memuji dan mengagumi
A ku tidak peduli kalaupun aku sedang bermimpi
Z uhrah memalingkan muka mengerling pada kejora
A runika hingga terlihat seperti kekurangan warna
H ulurkan aku anak kunci kutubkhanah ilmu sastera
R acikkan aku aksara dari kamar perbendaharaan kata
A ku mahu menulis sebuah puisi yang paling sempurna ... puisi maya
Nukilan: Si Takluk Jagat
06 Oktober 2019
STJ2019_190 - TERGAPAIKAH BAHAGIA
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
TERGAPAIKAH BAHAGIA
Semilir angin menghantar pesan
Titipan salam dari seberang
Ratusan batu jarak mengantara
Gelombang laut melagukan cinta
Kudup rindu menyebarkan wangi
Ranting sunyi mendeklamasi puisi
Warna asmara menyergap merah
Merak mengigal bulunya nan indah
Bahang asmara meleburkan diri
Kidung kekasih memecah sepi
Kian gemersik tambah membahana
Semakin asyik menatap angkasa
Indah berterbangan si kunang-kunang
Memetik kejora di bumbung alam
Kerlip gemintang memagar purnama
Wajah malam semakin renta
Mengawan tinggi puncak bahagia
Terapung sendiri di dangkalnya cita
Terjangkaukah tangan menggapai jemari
Ataukah taqdir kan berasa iri
Nukilan: Si Takluk Jagat
03 Oktober 2019
STJ2019_189 - SIAPAKAH GERANGAN SI PUJANGGA
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
SIAPAKAH GERANGAN SI PUJANGGA
Bawakan padaku api
Biar aku tukarkan panasnya menjadi dingin air yang mengalir tenang
Tunjukkan padaku hati yang membenci
Agar dapat ku pimpin tangannya merintis jalan ke cahaya terang
Berikan aku sebilah parang
Kelak akan ku cacah namaMu dari mata kanannya hingga tembus ke kiri
Petikkan aku sekuntum mawar
Aku mahu lihat setakat manakah tahannya telapakku tercucuk duri
Gerangan jemari siapakah itu yang menjahit aksara
Tampak sungguh sempurna terlihat dari susun aturnya
Di lorek mata penanya terbayangkan seribu pengharapan
Dan di lenggok tari diksinya meliuk rindu nan girang bergayutan
Hati siapakah itu yang sering meyakini
Bahawa di tiap pengakhiran hujan akan selalu muncul pelangi
Menadah saki baki titis air yang masih tersisa
Lalu merenjiskannya pada matahari yang membiaskannya menjadi sesapta warna
Dunia ... warna dan warninya yang sangat bergemerlapan
Syurga atau nerakakah destinasi kita yang telah ditetapkan
Setiap kamu terlihat benderangnya serlah titi suryaloka
Pasti kamu akan merasa aku ada di sisimu ... menatang segunung warninya dunia
Nukilan: Si Takluk Jagat
02 Oktober 2019
Tuesday, 1 October 2019
STJ2019_188 - BINGKISAN HATI
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
BINGKISAN HATI
Lihatlah aku menari
Tari nan bukan sebarang tari
Tarian yang berasal dari tanah orang-orang pilihan
Temani aku terbang
Di angkasa tiada sempadan
Menjejaki merdu ratib Si Rumi
Iringi aku berkelana
Mencecap manisnya iman
Merintis denai menuju keabadian
Kembara ku mencari cinta
Beringsut mengikut jejak sungai airmata
Merangkak dalam cahaya
Tiada kelam jalan, tiada gelita
Beriringan bersama awan
Meniti di lengkung sapta bianglala
Lurus telunjuk menuding ke hujung langit
Ayuh kita jelajahi
Rahsia kalam yang paling tinggi
Tentang wujudnya insan dan terciptanya bumi
Biar bertahun Rumi di hadapan
Walau berkurun puisi dititipkan
Istiqamah dengan MaknawiNya kita berterbangan
Nukilan: Si Takluk Jagat
30 September 2019
28 September 2019 - Update Profile Picture - Al-Fatihah Untuk IBU
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
Al-Fatihah Untuk IBU
STJ2019_187 - .... FIRR! (Balasan Puisi Firda Mansyah Serpihan Lara) PENDING!!
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
(Balasan Puisi Firda Mansyah Serpihan Lara)
.... FIRR!
(Balasan Puisi Firda Mansyah Serpihan Lara)
Asyik menghayati irama nyanyian belahan jiwa
Bernotakan bait-bait aksara yang ditoreh di dedaunan minda
Ternyata kecapinya dipetik senada dengan hangat airmata yang berguguran
Hingga larik kidungnya sebak bercerita tentang cinta yang tak kesampaian
Beginikah akibatnya bila pena jiwa merajuk
Tintanya membeku bagai raksa yang berselimutkan sejuk
Tiada lagi mampu mengeja walau sekelumit diksi dan kekata
Entah ke mana hilangnya ilham untuk mencoret sajak dan puisi yang berima
Firr ... jangan dihadang cahaya matahari yang mahu mencumbui bumi
Jangan pula dikenang bias sinar rembulan yang pulang pagi
Hargailah setianya embun yang tidak pernah memberitahu pada sesiapa
Tentang kerinduan sang suria dan purnama walau masing-masing tidak pernah bertentang mata
Lihatlah itu biru bangkai papan coretan yang sedang terpajang
Ghairah ia mengadu pada semilir pagi yang hadir kesiangan
Bertanya bilakah pujangga akan menyiapkan karyanya
Menunggu bilakah waktunya penyair bakal mendeklamasikan sajaknya
Sabarlah papan coretan, bertenanglah semilir bayu
Kita nantikan saatnya pena jiwa kembali menulis rindu
Pasti akan ada penghujungnya kisah asmara matahari dan rembulan
Dan semoga petikan melodi kecapi cinta itu akan kembali bernada riang
Nukilan: Si Takluk Jagat
27 September 2019
STJ2019_186 - PERCAYALAH JUWITAKU
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
PERCAYALAH JUWITAKU
Siapa sangka ...
Di sebalik malu tutur kata itu tersembunyi seketul hati yang tulus suci
Dan tersimpan di balik lembut tatap netra itu bara cinta yang kuat membara
Datanglah ribut ... datang kabut
Di bibir itu akan senantiasa terlukis senyuman termanis
Juwitaku ... percayakah kamu jika aku katakan
Pertemuan kita ini bukanlah hanya sekadar suatu kebetulan
Tapi segala yang berlaku adalah seiring ketetapan dan ketentuanNya
Qada' dari Qadar yang telah dicoretkanNya sejak sekian lama
Aku meyakini bahawa hidup dan mati itu adalah sebahagian dari rahsia besar
Dari sekelian banyaknya rahsia-rahsia yang belum terbongkar
Tapi tiadalah sejauh itu aku bermunajat untuk di berikan ilham
Cukup sekadar jawapan kepada beberapa persoalan yang sering bermain di fikiran
Mengapa hanya namamu yang sering disabda oleh gema degup jantung
Mengapa pula hanya manis senyummu yang selalu hadir berkunjung
Telah tertuliskah bahawa kamu taqdirNya untuk diriku ini
Kelembutanmukah yang dapat mententeramkan galaunya hati yang sedang sepi
Jika benarlah begitu, izinkan aku pimpin tanganmu juwitaku
Semoga kamu tetap kekal jadi anggerik kesayanganku
Percayalah, diri ini akan selalu setia menemani
Di dalam kelam malam mahu pun di bawah terik mentari
Biar waktu terasa mati dan putaran bumi jadi berhenti
... raut wajahmu dik akan senantiasa mendamaikan hati
Nukilan: Si Takluk Jagat
26 September 2019
SIAPA SAYANK SAMA AKU JAWAB KALO BERANI
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
Ada kagak ya?
Mkasih semua yg telah ngomen ... AKU SAYANG KALIAN SEMUA ... kerna kalian semua adalah teman"ku maka aku masih di sini ... moga persahabatan kita senantiasa dirahmati Allah swt ... AMIINNN YA RABB
STJ2019_185 - CAMAR DAN KAPAL
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
CAMAR DAN KAPAL
Indahnya bila dua jiwa saling bertaut
Bagai akrabnya gelombang dan laut
Walau ke mana berdua
Walau ke mana bersama
Kagum melihat gigihnya camar mengibas kepak
Bangga memandang gagahnya kapal dilambung ombak
Sebagaimana kentalnya camar
Sebegitu pula bersemangatnya kapal
Tiba-tiba datang ribut yang bertiup kencang
Membadai tanpa sedikit pun punya rasa perikemanusiaan
Lemah sayap sang camar
Patah tiang layarnya kapal
Berterusan laut membadai keras
Menghentam ganas tanpa kenal kasihan belas
Tewaslah camar
Meretaklah kapal
Yang kelihatan cuma carik bulu camar yang berterbangan
Dan papan-papan dari badan kapal yang berselerakan
Tiada lagi berjiwa
Tiada lagi bernyawa
Begitulah alam mengajar kita
Tentang bagaimana taqdir menulis cerita
Menyayangi tak semestinya mencintai
Mencintai tak semestinya memiliki
Nukilan: Si Takluk Jagat
23 September 2019
STJ2019_184 - SELAMAT JALAN IBUNDA (18 September 2019)
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
SELAMAT JALAN IBUNDA
(Al-Fatihah untuk ibuku tersayang yang telah kembali ke Rahmatullah pada 18 September 2019)
Ibu ... hari ini izinkanlah aku menitiskan airmata
Sewaktu bersendirian bersamamu di bungkamnya sebuah pusara
Ya Allah ... senyum ikhlas yang sering terukir di wajah itu kini tiada lagi
Digantikan dengan sepasang nisan yang menandai tanah merah yang baru sahaja dikambus kembali
Terima kasih kerana pernah mengizinkan aku menumpang rahimmu Ibu
Ampunkanlah aku kiranya semenjak itu aku telah mulai menyakitimu
Saratnya mengandungkanku telah membuat kulit perutmu meretak
Siksanya melahirkanku malah hingga membuatkan dagingmu terkoyak
Ibu ... halalkanlah setiap titis susumu yang aku minum
Ikhlaskanlah juga tiap suap makanan yang telah masuk ke dalam kerongkong
Aku berbangga Ibu, kerana separuh darah yang mengalir di tubuhku ini adalah darah serikandimu
Manakala sebahagian lagi darah perwira milik Ayah yang telah pergi lama dahulu
Namun aku sedih Ibu ... kesedihan yang tidak dapat aku gambarkan dengan kata- kata
Jiwaku kosong Ibu ... umpama sekuntum mawar yang tiada lagi berwarna
Begini rupanya rasa sebuah kehilangan
Tidak terseka airmata tika mengutip sisa-sisa cebisan kenangan
Selamat jalan Ibu, selamat berkelana di taman abadi
Aku meredhakannya Ibu, aku tahu di sana Ayah sedang menanti
Dan aku meyakini walau betapa besarnya kasih aku kepadamu
Pasti akan lebih besar sayangNya Allah swt terhadap dirimu Ibu
... Ya Allah Ya Tuhanku ... Kau cucurilah rahmat ke atas roh-roh ayah dan ibuku ... semoga mereka ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan yang beramal soleh ... Al-Fatihah
Nukilan: Si Takluk Jagat
18 September 2019
STJ2019_183 - TEKAD SANG CAMAR (Didedikasikan Untuk Nur Asyifa)
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
TEKAD SANG CAMAR(Didedikasikan Untuk Nur Asyifa)
Hasrat camar kecil ini ingin sekali terbang menyusuri angin
Ikut sama menari meniti ombak yang galak meriak
Menjelajahi laut biru yang luas hamparnya
Sambil melayani rasa rindu yang kuat membara
Alangkah indahnya bias cahaya pelangi petang
Melukis pesona pada layar angkasa nan saujana mata memandang
Hujungnya menyentuh bentang permukaan samudera
Seperti menyedut air dari kolamnya lalu membancuhnya menjadi sapta warna si bianglala
Dahulu aku cuma dapat menatap segala keindahan itu dari tebing yang tinggi
Kerana aku menyedari setakat mana sahajalah kemampuan diriku ini
Dahulu aku berasa aku hanyalah seekor camar kecil yang tiada berupaya
Tapi ternyata perancangan Allah swt itu tiada siapa yang dapat menjangkakannya
Dititipkan semangat padaku lewat seekor helang yang gagah membelah angkasa
Yang meyakinkan aku bahawa asa adalah tangga segala jaya
Dia menggamitku untuk bersama terbang beriringan
Hingga aku percaya bahawa aku boleh meneroka langit yang tiada bersempadan
Tuhan … kurniakanlah aku hati sekeras waja
Agar aku bisa sekokoh karang di dasar samudera
Pasti nanti aku bukan sekadar berani mengharung badai yang menerjang keras
Malah aku kan mampu terbang menembusi pelangi indah yang membias di angkasa luas
Nukilan: Si Takluk Jagat
16 September 2019
STJ2019_182 - DEWI PENGUASA
FENOMENA PUISI SI TAKLUK JAGAT
DEWI PENGUASA
Ya Ghaffar, ighfirli
Ya Rahim, irhamni
Lebur diri di lingkup khusyu'
Degup hati meratib Tawassul
Energi alam membius tenang
Riuh gelombang semakin menghilang
Berkelana jiwa di dimensi berbeza
Tipisnya sempadan mimpi dan nyata
Sekonyong jelma sosok Sang Dewi
Sepasang kuda menggerak pedati
Tiada tenggelam di gelora samudera
Sekar arum sisip di kepala
Mewah megah persalinan bangsawan
Terbit pelangi bertonakan kehijauan
Sungguh aneh rasa yang hadir
Sekaku daunan didakap semilir
Senyum Sang Dewi merasuk hati
Menghambur semerbak wangian melati
Menghilang Dewi di balik ombak
Barulah jantung berani berdetak
Sesaat cuma bertentang mata
Mesranya terasa berkurun lama
Kanjeng ... dalam gesamu mengundurkan diri
Cucuk sanggulmu ku temui tercicir
Berkerut keningku memikirkan logika
Cuaikah ... atau cuma alasan mengharapkan sua
"Innama amruhu iza ara dasyai an ayyaku lalahu kun fayakun" ... sesungguhnya bila Dia menghendaki sesuatu, cukup dengan berkata 'Kun' (jadi) maka jadilah ia
... Aku meyakini bahawa segala sesuatu berlaku dengan izinNya
Nukilan: Si Takluk Jagat
12 September 2019
Subscribe to:
Posts (Atom)